Report of Mount Chabang

Ekspedisi kali ini disertai oleh 12 orang pendaki. Mereka terdiri daripada Yaye, Abe, Soeb, Abg Latif, Kalel, Khainis, Fathi, Din Ganu, Ammar, Kak Pah, Awe, dan Nonie. Seperti selalu tangga besar menjadi tempat berkumpul sebelum perjalanan dimulakan. Pada malam tersebut, kelihatan Timah, Razi, Paan, Zack, Zyha, dan ramai lagi yang mengucapkan selamat jalan kepada para peserta.
Dari Kampus IIUM, kami bergerak ke RnR Tapah untuk minum malam dan tidur di sana. Selesai menunaikan solat subuh berjamaah, kami menikmati sarapan pagi di sana dan meneruskan perjalanan ke tempat mula pendakian.
Pendakian ke Gunung Chabang bermula di Pos Slim, Simpang Pulai, Perak. Selesai mengemas barang dan agihan barang di lakukan, pendakian sebenar bermula. Jam 12 tengah hari kami memulakan perjalanan.


Pendakian ke Gunung Chabang boleh dikatakan menarik dan mencabar. Trek yang dilalui menguji kekuatan mental dan fizikal. Perjalanan mencanak bermula selepas sahaja melintasi rumah orang asli di Pos Slim sehingga ke Puncak Tipu, tapak perkhemahan kami untuk ekspedisi kali ini. Terdapat juga trek mendaki lebih kurang 75 darjah menegak dilalui dan ketinggiannya dapat dilihat dengan jelas.
Perjalanan untuk hari pertama memakan masa lebih kurang 5 hingga ke 6 jam. Setiba sahaja di Puncak Tipu, kami menggeluarkan barang dan bersiap sedia untuk makan malam. Noni menjadi ketua tukang masak untuk trip kali ini. Macam biasa, masakan air tangan beliau memuaskan hati semua pihak tanpa sebarang komen pedas. Menu kami untuk malam tersebut ialah Nasi Puteh, Teh O, Telur Dadar, Ayam Masak Merah, dan Tomyam Sayur.
Selesai sahaja makan, semua pendaki menuju ke tempat tidur masing-masing namun sebaliknya berlaku kepada Abe, Kalel, dan Soeb. Mereka terpaksa mendirikan tempat tidur baru dengan ruang yang terhad. Tempat tidur yang mereka dirikan petang tadi terhad dan tidak mencukupi untuk mereka. Kepayahan mereka tidak dipedulikan oleh rakan-rakan lain namun mereka terus melakukan kerja tanpa menyusahkan kawan-kawan yang sedang selesa dibuai mimpi basah.
Subuh menjelma, pemandangan dari Puncak Tipu sangat menarik dan menggiurkan. Dari sini kita dapat melihat Gunung Korbu, Gayong, Yong Belar, Brinchang, Suku, dan bermacam-macam lagi seluas mata memandang. Ucapan kalimah SubhanAllah dan MasyaAllah dapat di dengar, memuji atas ciptaanya yang begitu indah dan mengagumkan. Terselit di hati ini rasa insaf dan rendah diri melihat kekuasaan dan kehebatan ciptaaNya.




Pada jam 11 pagi, kami bergerak ke Puncak Gunung Chabang. Pejalanan mengambil masa selama 15 minit dari Puncak Tipu. Perjalanan yang mendatar tidak seperti hari sebelumnya. Puncak Gunung Chabang boleh memuatkan dalam 12 orang pendaki dalam satu-satu masa. Tapak perkhemannya sangat cantik seolah-olah dijaga dengan rapi.
Selesai sessi bergambar kami meneruskan perjalanan pulang ke Pos Slim. Perjalanan mengambil masa 2 jam 30 minit sehingga ke tapak letak kereta. Selesai mengemas diri kami meneruskan perjalanan ke Tapah untuk makan malam. Selesai makan, kami bergambar di depan kedai bersama ketua pasukan, Abg Latif. Selesai bergambar kami meneruskan perjalanan pulang dan tiba di IIUM pada jam 10 Malam.
Allhamdulillah, ekspedisi kali ini dapat dianjurkan tanpa sebarang kecederaan dan malapetaka yang serius. Sehingga bertemu pada aktivit akan datang, dan janganlah menyesal dan berasa rugi untuk menyertai aktiviti arciium.com.
Segala salah silap di dahului dengan seribu kemaafan. Kami hanyalah manusia biasa yang tidak dapat lari dari kesalahan secara sedar atau tidak. Terimalah seadanya dengan usaha untuk memperbaikinya di masa akan datang.
Sekian, terima kasih.



