Report of Trans Titiwangsa VI Expedition 2009
Alhamdulillah, akhirnya ekspedisi Trans Titiwangsa VI berakhir dengan selamat tanpa sebarang masalah besar berlaku. Line up untuk trip kali ini diketuai oleh Kalel sebagai Program Manager, Adi Kurin sebagai Trekker, Abe, Soeb, Mangat, Asker, Feng, Arif, Syamil, Hassan, Ammar, Moja, Kak Pah, GG, Rizal, Uzair, Alain, Halim, Awe, Fajar, dan Kuyek.
Para peserta terdiri daripada ahli-ahli ARCIIUM Gombak, Kuantan, dan Monash Wild Adventure Club.
30 Jun 2009, Day 1
IIUM to Kem Dusun
Para peserta berkumpul di tangga besar IIUM pada jam 10 pagi. Turut kelihatan untuk mengucap selamat jalan ialah Mr Presiden sendiri Yahya, Kay, dan Kak Ros. Kami bergerak menaiki pengakutan awam menuju ke Stesen Bas Puduraya.
Sebelum bergerak, lambaian tangan dari Presiden memberikan seribu satu makna dan semangat kepada semua. Tidak dinafikan perasaan sedih tanpa kehadiran beliau untuk program kali ini, namun semangat dan aura beliau tetap ada pada semua ahli ekspedisi.
Di Stesen Bas Puduraya kami bertemu 4 orang peserta dari Monash Universiti yang turut mengikuti ekspedisi kali ini. Bas bergerak tepat jam 1230 tengah hari ke Stesen Bas Medan Gopeng. Setiba kami di sana, kami terus mencari kedai untuk makan tengah hari. Feng dan Ameen menunggu kami di sana.
Selesai makan dan solat, kami terus menuju ke starting point iaitu Empangan Ulu Kinta lebih kurang 20 minit daripada Bandar Ipoh. Dari sini, kami menaiki lori lembu yang di sewa dan membawa kami ke hujung Empangan Kinta. 10 minit berjalan kami sampai di tapak perkhemahan untuk hari pertama.
Bonus untuk hari pertama, apabila hujan turun dengan lebatnya sewaktu kami enak dibuai mimpi basah. Kekuatan mental amat diperlukan untuk mengharungi hari-hari mendatang dalam hujan.
1 Julai 2009, Day 2
Kem Dusun – Kem Seroja
Rancangan awal adalah untuk berjalan sehingga ke Kem Kijang, oleh kerana hujan lebat malam tadi, campsite bertukar ke Kem Seroja. Keputusan dibuat untuk membolehkan kami menjemur segala peralatan dan pakaian yang basah di sana.
Kami bergerak dari sini ke Kem Seroja tepat jam 930 pagi. Perjalanan untuk hari pertama tidaklah susah hanya ringan-ringan. Terdapat 4 bukit rendah yang harus didaki selepas air terjun sebelum sampai ke Kem Seroja.
Kami tiba di Kem seroja pada jam 245 petang. Campsite disiapkan dan peralatan basah terus dijemur untuk kegunaan hari mendatang.
2 Julai 2009, Day 3
Kem Seroja – Puncak Korbu
Bonus kedua tiba untuk ekspedisi kali ini, hujan turut secara tiba-tiba dari jam 8 pagi hingga 10 pagi. Hujan tersebut menyebabkan persediaan tergendala dan rancangan untuk memulakan pendakian jam 8 pagi terganggu.
Namun, keazaman yang tinggi daripada peserta dan tidak menghiraukan hujan yang turun, kami bergerak dari sini menuju ke Puncak Korbu pada jam 1030 pagi.
Perjalanan yang santai dan relax kami tempuh menuju ke Kem Kijang. Di sini kami berhenti rehat dan sebelum menyambung perjalanan menuju ke Kem 7E. Dari sini, salah seorang ahli ekspedisi iaitu Awe bergerak tanpa memakai kasut dan selipar.
Di sini, kami mengisi botol air 5 liter untuk kegunaan di Puncak Korbu. Perjalanan yang sangat memenatkan dari sini menuju ke Puncak Korbu. Trek dilalui sangat menarik dan mencabar keupayaan pendaki. Trek lumut dilalui, akar pokok, tunduk menunduk, dan trek memanjat batu turut terdapat untuk ditempuh.
Team sweeper tiba di Puncak Korbu pada jam 645 petang. Cuaca di sini sangat baik dan suasana indah matahari terbenam dapat dilihat. Pada sebelah malamnya, kelihatan lampu-lampu dari bandar Ipoh dan Banjaran Titiwangsa yang mengelilingi Puncak Korbu ditatapi. Kita juga dapat melihat Puncak Gunung Yong Yap dari sini
3 Julai 2009, Day 4
Puncak Korbu – Kem Lembah
Kesejukan Puncak Korbu memang tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pendaki yang pernah sampai ke sini. Angin yang bertiup menambahkan lagi kedinginan dan memang selesa untuk tidur. Rancangan awal untuk bergerak dari sini menuju ke Lembah ialah pada pukul 8 pagi.
Atas beberapa faktor terutamanya sejuk, kami bergerak pada jam 1030 pagi. Pemandangan indah di kiri dan kanan kami dapat dilihat sepanjang perjalanan ke puncak Gayong. Allah Maha Berkuasa dan mampu menciptakan gunung ganang sebagai pasak kepada bumi.
Banjaran Titiwangsa dapat dilihat di kanan dan kiri kami. Memang rugi kepada mereka yang tidak dapat turut serta untuk ekspedisi kali ini. Kami mengambil peluang untuk mengambil gambar diabadikan dalam ingatan kami. Seluas mata memandang kami dapat melihat banjaran, gunung-ganang, trek yang kami lalui, trek yang akan kami lalui, dan bukit-bukau.
Selepas 2 jam berjalan, kami semua selamat tiba ke Puncak Gayong, puncak kedua dalam ekspedisi ini. Jam menunjukkan pukul hampir pukul 1 tengah hari. Kami mengambil peluang untuk menikmati makan tengah hari kami di sini. Dari sini kelihatan dari jauh Kem Junction yang akan kami lalui sebelum bergerak ke Kem Lembah, campsite kami untuk hari ini.
Junction merupakan cabang untuk perjalanan ke Gunung Yong Yap dan Gunung Yong Belar. Selepas selesai semua, kami bergerak menuju ke Junction perlahan-lahan. Trek dilalui sangat sukar dan terdapat tempat untuk rukuk, sujud, dan meniarap yang harus dilalui oleh kami.
Pukul 4 petang, kami selamat tiba di Kem Junction. Hujan renyai-renyai turun dan kesejukkan terasa hingga ke tulang. Kami meneruskan perjalanan ke Kem Lembah. Perjalanan dari sini hanya menurun dan kadang kala mendaki.
Selepas seharian berjalan, tiba masa yang ditunggu untuk makan malam. Memandangkan perjalanan esok dikategorikan sebagai ringan-ringan, makan malam dihididang pada jam 11 malam. Menu untuk malam ini ialah spaghetti, tembikai, air mangga, dan buah lai.
Selesai makan, semua menuju tempat tidur masing-masing.
4 Julai 2009, Day 5
Kem Lembah – Puncak Yong Belar
Nasi lemak dan teh tarik, santapan kami untuk pagi ini. Hari ini, kami memulakan perjalanan pukul 2 petang.
Sebelum berjalan, kami memutuskan untuk tidak bermalam di Puncak Yong Belar tetapi meneruskan perjalanan sehingga ke Kem Tepung. Namun, perjalanan untuk hari ini sangat perlahan mungkin kerana trek yang mencanak tanpa diskaun dari sini hingga ke Puncak Yong Belar.
Kami tiba di kem H2O pada jam 415 petang, lambat daripada waktu yang ditetapkan. Kami terus memutuskan untuk bermalam di Puncak Yong Belar sahaja. Hujan turun dengan lebatnya sebelum kami sampai puncak dan angin bertiup sangat kuat.
Suasana yang sejuk memang memerlukan ketahanan mental yang tinggi untuk melakukan kerja. Flysheet di pasang walaupun dalam hujan dan berangin. Memang pengalaman ini tidak akan kami lupakan sampai bila-bila.
Tiba masanya untuk makan malam, chef kami untuk malam terakhir ini ialah Soeb dan Abe. Gabungan yang sangat menarik dan hasil kerja yang tidak kurang dari chef-chef sebelum ini. Menu untuk makan malam ini ialah Ayam Masak Merah Halia, Nasi Putih, Telur Masak Kicap, Kerepok Segera, dan Kopi.
Semua menikmati dengan berselera walaupun angin masih bertiup dengan kuat dan kadang kala hujan. Selesai makan, kami menuju tempat tidur masing-masing untuk beradu. Angin dan hujan menemani kami hingga keesokan harinya.
5 Julai 2009, Day 6
Puncak Yong Belar – Brinchang
Hari terakhir, semua bersemangat untuk memulakan perjalan hari ini menuju ke Cameron Highland. Namun, puncak yang dikelilingi kabus, hujan renyai-renyai, dan angin yang bertiup kencang melambatkan persiapan kami untuk hari ini.
Sebelum bergerak, kami mengambil gambar kenang-kenangan di Puncak Yong Belar. Pemandangan dari sini sangat menarik, indah, dan menggiurkan. Dari sini kami dapat melihat Puncak Korbu, Bandar Ipoh, Kem Junction, Puncak Gayong, dan trek yang telah kami lalui untuk 5 hari yang lepas. Kepada mereka yang tidak dapat menyertai ekspedisi ini, hayatilah gambar-gambar dengan tenang dan kesabaran yang tinggi.
Sebelum bergerak, kami disajikan dengan seekor ular kapak hijau yang sangat menarik sedang berehat di kawasan campsite. Kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan ular tersebut.
Pukul 11 pagi, kami memulakan perjalanan ke Kem Tepung. 2 jam Kemudian kami selamat tiba di sana. Perjalanan diteruskan menuju ke Pintu Rimba. Sebelum tiba di sana, beberapa orang peserta telah diserang dengan beberapa ekor tebuan. Antara mangsa yang malang tersebut ialah Arif, GG, Hassan, Syamil, Fajar, dan beberapa orang lain.
Selepas berehat kami meneruskan perjalanan ke Blue Valley untuk menaiki lori yang akan membawa kami ke Tanah Rata. Dari sini kami mengambil bas awam dan terus menuju ke hostel penginapan di Brinchang untuk bermalam.
Selepas membersihkan diri, kami beramai-ramai menuju ke Fauzi Tomyam untuk makan malam di sana. Pelbagai jenis makanan di order untuk membayar balik hutang makan kami sewaktu berekspedisi. Nasi Goreng Kerabu, Tomyam, Sotong Goreng Tepung, Nasi Goreng Kampung, Nasi Goreng Ayam, Air Tembikai Laici, Fresh Orange Laici, Carrot Susu, dan Nenas menjadi hidangan popular pada malam tersebut.
Sesudah makan, kami bergerak pulang ke asrama dengan aktiviti seterusnya iaitu Post Mortem Program dan sessi taaruf. Semua memberikan kerjasama yang baik dan ekspedisi di tutup sejurus sessi Post Mortem berakhir.
Pukul 2 pagi, kami menerima kedatangan Zack dan seorang kawannya yang datang dari Kuala Lumpur. Bersemangat mereka untuk melihat sendiri kawan-kawan yang baru keluar dari hutan walaupun jarak yang memisahkan sangat jauh.
Tidur.
6 Julai 2009, Day 7
Brinchang – Kea Farm – IIUM
Roti Gegar, Roti Telur, Roti Canai, Nasi Lemak, dan teh tarik. Menu santapan pagi yang sangat menyelerakan. Menu tersebut memang bermain di fikiran sebelum ekspedisi bermula lagi.
Selesai, kami terus menuju ke Kea Farm untuk menikmati keindahan Cameron Highland di sana. Ais krim strawberri, cendawan goreng, jagung bakar, jagung rebus, ubi goreng, dan asam strawberri dinikmati bersama-sama.
Pulang bersiap-siap ke asrama, kami menuju ke stesen bus untuk menaiki bas pulang ke Kuala Lumpur. Bas kami bergerak tepat jam 430 petang dan tiba di Stesen Bas Puduraya pada jam 9 malam.
Kemudian, kami bergerak ke IIUM menaiki pengakutan awam beramai-ramai. Jam 11 malam semua selamat melapor diri di tangga besar. Sebelum berpisah, acara memohon maaf dan ucapan selamat tinggal kepada semua.
Berakhirlah sudah ekspedisi Trans Titiwangsa VI 2009 untuk tahun ini. Ribuan kemaafan diminta kepada semua untuk segala kesilapan secara sedar atau tidak. Kami hanya manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan.
Ucapan terima kasih kepada kawan-kawan yang membantu dan memberikan sokongan secara langsung dan tidak. Antaraya Amin, Zack dan seorang kawannya, Ammar Hitam, Yahya, Razmy, dan orang perseorangan lain yang tak dapat kami senaraikan. Moga-moga bantuan kamu semua dijadikan bekalan untuk hari penentuan kelak.
Sehingga bertemu pada program akan datang. Sekian, terima kasih. Assalamualaikum.
Comments (2)




gambar kenangan trans :
hahaha. macam cilakak. elok jerh… perut masing2… spider paling ganas… hahahahahaha.