Bouldering Lebih Santai

Jika beranggapan mendaki tembok batu (wall climbing), terutama bagi aktiviti memanjat ‘bouldering’ iaitu tembok batu antara tiga hingga lima meter sebagai aktiviti mudah, anda tersilap.
Sekalipun jarak didaki tidak tinggi, ia memerlukan kekuatan dan stamina tinggi, selain pantas serta bijak mengawal pergerakan badan untuk mengimbangkan diri ketika bergayut pada tembok.
Bagi empat penuntut universiti, Affequidim Aminudin 22, Aimee Nadra Ramli, 24, Imran Shaab, 24, dan Muna Hazumi Mohd Hashim, 23, menjalani latihan dan rutin memanjat bouldering di gimnasium berkenaan ibarat ‘makanan harian’ mereka.

Selain ingin mempraktikkan kemahiran mendaki, sebab utama mereka ke situ adalah untuk memantapkan lagi persediaan fizikal dan mental untuk mencapai tahap lebih tinggi dalam aktiviti berkenaan.
Affequidim yang aktif dalam aktiviti ini sejak tiga tahun lalu berkata, selain melatih diri meningkatkan kekuatan fizikal dan stamina, perkara penting yang perlu dikuasai dalam aktiviti terbabit ialah kemahiran, teknik serta pergerakan ketika mendaki tembok.
Katanya, bukan mudah menguasai kemahiran memanjat tembok jika tidak melakukan latihan rutin untuk menguasai pelbagai kemahiran, seperti cara mencengkam penyangkut tembok (slapping), bergantung (hanging), menyentak tempat berpaut (tugging) dan aksi melompat (dyno).
“Bouldering berbeza dengan aktiviti mendaki tembok biasa (wall climbing) kerana ia memerlukan kemahiran menguasai pelbagai teknik memanjat.
“Itulah keseronokan menjalankan aktiviti ini dan tahap kesukarannya pula mencabar. Paling penting, ia benar-benar menguji kekuatan fizikal,” katanya.
Affequidim yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan dan penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIA) adalah antara pendaki muda terbaik di Malaysia.
Dia pernah menjuarai Pertandingan Mendaki Tembok Batu anjuran Rakan Muda di Bukit Perdana dan tempat ketiga Kejohanan Malaysia X-Game, Kategori Bouldering (novis) di Bukit Kiara, baru-baru ini.
Penuntut Universiti Multimedia, Aimee, berkata bagi rata-rata pendaki wanita, aktiviti berkenaan mencabar kerana ia bergantung sepenuhnya kepada kekuatan fizikal mereka.
Katanya, selain seronok dan mendapat kepuasan, ia dapat menilai tahap kemampuan dirinya melakukan aktiviti itu.
“Lagi pula, yang menarik mengenai aktiviti ini ialah hubungan di kalangan komuniti pendaki dan rakan lain yang turut sama dalam aktiviti ini.
“Walaupun bilangan kecil, hubungan kami rapat dan mesra. Di Barat, aktiviti mendaki dan memanjat batu menjadi satu ‘gaya hidup’. Kini perkara sama berlaku di kalangan komuniti (pendaki) di sini,” katanya yang empat tahun aktif dalam aktiviti daki tembok batu.
Rakannya, Muna, pula berkata dia teruja menjalankan aktiviti itu bukan saja kerana ia lasak, malah mencabar ‘keupayaan’ diri.
Katanya, ada kala cubaan melakukan satu laluan (route) tembok batu mengambil masa lama untuk dilakukan, sekali gus mengajar dirinya tidak mengenal erti putus asa.
“Tidak kira sama ada dilakukan dalam gimnasium (tembok batu) atau pendakian bukit dan gunung secara semula jadi, ia memerlukan kesabaran.
“Ia juga menguji kemampuan diri saya. Walaupun terpaksa melakukan cubaan berulang kali untuk menyelesaikan satu laluan, saya tidak jemu melakukannya,” katanya.
Manakala Imran yang melakukan aktiviti ini sekadar aktiviti rekreasi dan riadah berkata, cabaran memanjat tembok batu bouldering lebih menarik kerana mempraktikkan lebih banyak skil dan kemahiran mendaki untuk menguasai aktiviti itu.
Lagi pula, katanya, ia bagai latihan asas untuk aktiviti pendakian secara semula jadi, selain mampu meningkatkan stamina untuk aktiviti pendakian lebih mencabar.
“Dalam gimnasium tembok batu, suasana lebih santai dan dalam masa sama dapat berkongsi pengalaman dengan rakan yang sudah lama aktif dalam aktiviti ini.
“Untuk menguasai kemahiran dan mengetahui kemampuan dalam aktiviti pendakian adalah satu proses panjang. Saban hari banyak perkara baru dipelajari, sekali gus meningkatkan kemahiran mendaki,” katanya.
Bayangkan betapa sukar mengawal pergerakan badan pada tembok (bouldering) yang condong 45 hingga 60 darjah, selain memerlukan 100 peratus kekuatan fizikal untuk memanjatnya.
Itu antara ‘tawaran’ hebat jika berkunjung ke gimnasium tembok batu, Mad Monkeyz Climbing, di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, yang dibuka April lalu.
Yang menarik, ia satu-satunya gimnasium khusus untuk aktiviti memanjat tembok bouldering di negara ini dan pastinya ia sedikit sebanyak membuka ruang kepada penggemar daki tembok batu mempraktikkan kemahiran dalam aktiviti berkenaan.
PROFIL

NAMA: Affequidin Aminudin
UMUR: 22 tahun
ASAL: Kota Bharu, Kelantan
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Akaun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
PENCAPAIAN: Juara Pertandingan Mendaki Tembok Batu anjuran Rakan Muda 2009, tempat ketiga Kejohanan Malaysia X-Game, Kategori Bouldering (novis) 2009
NAMA: Aimee Nadra Ramli
UMUR: 24 tahun
ASAL: Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Akaun, Universiti Multimedia
NAMA: Imran Shaab
UMUR: 24 tahun
ASAL: Shah Alam, Selangor
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Rekaan Antaramuka (Interface), Universiti Multimedia
NAMA: Muna Hazumi Mohd Hashim
UMUR: 23 tahun
ASAL: Selayang, Selangor
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Rekaan Antaramuka (Interface), Universiti Multimedia
Comments (4)




waaaaaaaaaaaaaaaaaa…..
din masuk papaer tuuuu…
dh abes hensem dh tuu..hahahahaha
biasa la tuh. bukan calang2 bole masuk paper. hahaha.
mai..abg din mmg hnsem kan..hahaha..xya kontrol hensem da ttp hensem..xgitu abg din?haha
abg din mmg hensem. juara tuh. hahaha.